Derma politik tidak tertakluk kepada cukai, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, menurut portal berita Malaysiakini.
"Bagi saya, jika pendapatan itu tertakluk kepada cukai, (maka kita boleh cukai). Jika pendapatan tidak tertakluk kepada cukai pendapatan, maka kita tidak boleh cukai," beliau dipetik berkata ketika ditanya pemberita mengenai derma politik.
Dilaporkan sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan LHDN tahu mengenai deposit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad dalam satu laporan The Star juga berkata, pada masa ini, tidak ada peraturan di negara ini yang mewajibkan pengisytiharan ke atas sumbangan dan dana politik.
"Keadaan ini boleh diubah dengan undang-undang (baru) supaya pembiayaan politik boleh telus, tetapi pada masa ini tidak ada undang-undang itu lagi," beliau dipetik berkata.
Tambahnya, beliau menyokong penuh undang-undang dan peraturan baru untuk membuatkan sumbangan dan dana politik lebih telus.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mencadangkan LHDN menyiasat Najib, mengatakan ia berhak berbuat demikian.
Beliau berkata dalam blognya, lembaga itu kelihatan tidak menjalankan tugasnya dalam kes deposit RM2.6 bilion ke dalam akaun perdana menteri, sambil menambah jumlah itu jelas melangkaui apa yang seorang perdana menteri Malaysia boleh miliki.
Dr Mahathir merupakan pengkritik lantang Najib dan pentadbirannya yang dicemari skandal kewangan melibatkan firma pelaburan milik negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sumbangan RM2.6 bilion, kelembapan ekonomi dan ringgit yang semakin jatuh. – 16 Februari, 2016.
- themalaysianinsider-
Post a Comment