Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih memburu 2 lelaki yang dipercayai mencuri taring harimau bunting mati dirempuh kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Plaza Tol Kerteh di Kemaman pada 6 Februari lalu, lapor Utusan Online.
Pengarah Perhilitan Terengganu Mohd Hasdi Husin berkata, imbuhan akan diberikan kepada pemberi maklumat untuk menangkap 2 lelaki berkenaan termasuk seorang yang dipercayai warga asing.
Hasdi turut memberi jaminan, identiti mereka yang memberi maklumat akan dirahsiakan, lapor portal itu.
“Suspek berdepan hukuman denda RM100,000 hingga RM500,000 dan boleh dihukum 5 tahun penjara jika sabit ke¬salahan di bawah Seksyen 68 (1) (C) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.
Dalam kemalangan pada 6 Februari lalu, harimau yang dikenali sebagai “Malayan Tiger” itu mati akibat dirempuh sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex.
Tindakan suspek mencungkil untuk keluarkan taring harimau berkenaan yang dipercayai mempunyai nilai cukup tinggi di pasaran merupakan perbuatan keterlaluan dan gambar serta berkenaan kini menjadi viral di laman sosial.
Hasdi berkata, susulan itu juga, pihaknya mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit selain 2 anggota Perhilitan yang menerima bangkai harimau dan 4 anggota peronda LPT2.
“Hasil siasatan mendapati gambar yang menjadi viral itu adalah tulen dan kedua suspek terbabit sedang diburu. Kita tidak menolak kemungkinan 2 suspek itu terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.
Beliau turut mengesahkan keghairahan sesetengah pihak untuk mendapatkan bangkai haiwan itu, malah terdapat 4 hingga 6 individu menghubungi pengendali lebuh raya untuk membelinya.
“Kita mendapat kerjasama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia dan masih meneliti kamera litar tertutup di sepanjang kawasan plaza tol yang dilalui kedua-dua individu itu.
“Kita difahamkan, mereka menggunakan 2 kenderaan iaitu Proton Wira berwarna merah dan pacuan 4 roda Toyota Hilux berwarna hitam,” katanya.
Minggu lalu, sumber Perhilitan memberitahu The Malaysian Insider, harga di pasaran gelap bagi bangkai seekor harimau boleh mencecah sehingga RM500,000.
“Ini menyebabkan sesetengah pihak menjadi tamak.
“Apatah lagi permintaan tinggi bagi misai, taring dan semua organ yang terdapat pada tubuh harimau kerana perubatan Asia mempercayai banyak khasiat daripada harimau,” kata seorang jurucakap Perhilitan yang tidak mahu dinamakan. – 17 Februari, 2016.
-Themalaysianinsider-
Post a Comment