SPR sepatutnya mengeluarkan kenyataan bagi menjawab dakwaan terhadap BN itu.
PUTRAJAYA: DAP mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil perhatian terhadap laporan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak yang didakwa telah membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua DAPSY, Teo Kok Seong, berkata, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh SPR mengenai dakwaan berkenaan.
“Sebenarnya kita berharap dengan pengerusi yang baharu, mereka haruslah memberi maklum balas secepat mungkin ataupun satu, dua hari selepas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) mengelurakan dakwaan ini dan Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Idris Haron) mengaku memang ada RM1.5 bilion dibelanjakan.
“Itu seharusnya dilakukan SPR dan sampai sekarang kami tak lihat ada tindakan dilakukan oleh pihak berkenaan seolah-olah ia bukan perkara yang perlu diambil perhatian,” katanya kepada pemberita di hadapan banguna SPR di sini, hari ini.
Teo berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan Mukhriz bahawa RM1.5 bilion telah dibelanjakan dalam PRU13.
Perkara tersebut turut disahkan oleh Idris menerusi laporan berkenaan.
Berikutan itu, Teo dan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik membuat laporan terhadap BN dan mendesak agar Pengerusi SPR baharu, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menyiasat dakwaan berkenaan.
“Ini berikutan BN telah membelanjakan lebihan wang dalam PRU13 dan telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 19 (1).
“Pendedahan ini cukup serius dan saya rasa satu tindakan perlu diambil terhadap yang terbabit. Ia (RM1.5 bilion) bukan angka yang kecil.
Teo juga berharap SPR dapat mengeluarkan kenyataan dan menunjukkan pendirian mereka terhadap dakwaan itu.
“Saya harap SPR dapat ambil tindakan atas tuduhan ini dan saya juga rasa rakyat Malaysia mahu SPR dalam masa terdekat keluarkan satu kenyataan mengenainya,” ujarnya.
-FMT NEWS-
Post a Comment