0

Kumpulan itu boleh 'menjerit' membantah Najib Razak tetapi suara itu sebenarnya tidak mewakili rakyat Malaysia.



KUALA LUMPUR: Cadangan kumpulan anti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan perhimpunan mendesak Perdana Menteri berundur tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perhimpunan seperti 27 Mac ini bukannya pertama kali dianjurkan pihak pembangkang. 

“Pada dasarnya itu satu lagi perhimpunan (biasa). Kita hanya perlu berurusan dengan perkara itu. Akhirnya, orang ramai yang akan membuat perubahan (melalui pilihanraya) bukan suara yang menjerit paling kuat (kumpulan anti Najib). 

“Mereka mungkin jerit dengan kuat tetapi mereka tidak mewakili suara majoriti,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini. 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merancang menganjurkan perhimpunan anti-Najib pada 27 Mac ini, yang dijangka disertai Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin pembangkang.



Dalam sidang media berasingan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata perhimpunan tersebut bakal menyusahkan semua pihak. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mengahalang perhimpunan tersebut kerana negara mengamalkan sistem demokrasi. 

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat kawalan, dari segi pihak KDN tidak ada peruntukan khas untuk membuat kawalan pada perhimpunan tersebut. 

“Malah segala isu yang belaku nanti pihak penganjur perlu bertanggungjawab,” katanya.



-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top