0

Beliau ditahan pegawai Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu dan diarah pulang menaiki pesawat sama, kira-kira sejam kemudian.

PETALING JAYA : Selepas beberapa pemimpin pembangkag dihalang memasuki Sarawak, hari ini insiden sama berlaku kepada Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Pegawai khas Mat Sabu, Mohd Azahar Md Dali berkata, Mat Sabu ditahan di Lapangan Terbang Sibu sebaik tiba dari KLIA, kira kira jam 10. 35 pagi.

Katanya, Mat Sabu diarah pulang semula ke KLIA menerusi pesawat yang sama, kira-kira jam 11.50 pagi.

“Kita tidak dimaklumkan sebab Mat Sabu (dilarang memasuki Sarawak). Itu yang kita juga agak hairan sebab pada kita Mat Sabu , beliau memang berjuang di bawah prinsip demokrasi dan kita ikut lunasi demokrasi…Sarawak ini sebahagian daripada Malaysia.

“Jadi bila beliau (Mat Sabu) dilarang itu kita sangat terkejut dengan arahan (tidak dibenarkan masuk ke Sarawak).

Sebagai rakyat yang patuh kita ikutlah undang-undang itu dulu,” katanya kepada FMT.




Menurutnya, dia dan Mat Sabu ke Sarawak untuk menghadiri program politik di negeri itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang turut dilarang untuk memasuki Sarawak antaranya Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Zuraida Kamarudin, Teresa Kok dan Tony Pua.

Sementara itu, , Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzir menerusi kenyataan media berkata, PKR kesal dengan kejadian itu dan menganggap tindakan kerajaan Sarawak sebagai tindakan terdesak.

“Mohamad Sabu merupakan salah seorang dari sejumlah pimpinan politik dan masyarakat sivil yang kini tidak boleh lagi menjejak kaki ke Bumi Kenyalang.




“Tindakan ini menjadi bukti bahawa Barisan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem cukup takut pada musuh politik seperti Pakatan Harapan sehingga kehadiran pimpinan seperti Zuraida Kamaruddin, Nurul Izzah, Tony Pua, Teresa Kok, Mazlan Aliman dianggap satu ancaman politik.

“Di dalam demokrasi yang maju dan progresif, musuh politik perlu diserang melalui idea dan perbahasan, bukan diserang dengan halangan pentadbiran seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Fahmi berkata, pentadbiran Adenan perlu menamatkan dasar menghalang warga Malaysia yang berlainan pandang politik dari memasuki Sarawak, demi demokrasi yang lebih matang dan Malaysia yang lebih baik.




-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top