Siti Nurhaliza berkongsi kenangannya bersama Allahyarham yang banyak membantunya ketika susah dan mengajar beliau untuk menjadi penyanyi yang baik.
PETALING JAYA : Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkongsi kesedihan ‘pemergian’ komposer terkemuka negara Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang meninggal dunia pagi tadi.
Menulis di Instagram miliknya ctdk, Siti Nurhaliza berkata, beliau tidak dapat melupakan pengalamannya bersama-sama Adnan yang banyak mengajarnya menjadi penyanyi yang baik.
“Beliau mengajar saya teknik menyanyi dan menghayati lagu dengan baik, menjaga saya seperti abang sendiri, pernah bawa saya ke tempat show (persembahan) dengan motornya, sentiasa tersenyum dan ketawa dan insan yang pemurah.
“Sebentar tadi, kali terakhir saya menatap wajahnya..wajahnya jernih dan bersih serta tenang seperti tersenyum..Masyallah..Allah SWT memilih beliau pergi di penghulu segala hari…Semoga Allah merahmatinya,” katanya.
Mukhriz pula menyifatkan Kedah dan negara kehilangan seorang tokoh muzik yang hebat.
“Moga rohnya dirahmati, diampun segala dosa, diangkat azab kubur dan ditempatkan di kalangan Muttaqiin. Takziah kepada kaum keluarga arwah,” katanya menerusi Instagramnya.
Pengacara, Datuk Aznil Nawawi pula berkata, beliau sempat melawat komposer berkenaan pada malam tadi dan tidak menyangka lawatannya itu merupakan ‘saat-saat akhir’ Adnan.
“Sejuk jari-jari beliau masih Paknil terasa. Namun wajahnya bersih putih. Pergi beliau di hari Jumaat, harapnya rezeki beliau yang paling besar. Banyak jasa beliau kepada negara,” tulisnya di Instagram.
Adnan, 57, disahkan meninggal dunia pada jam 2.17 pagi tadi di Hospital Selayang, di sini.
Komposer terkenal negara itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan tengah malam semalam, kerana serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
-FMT NEWS-
Post a Comment