0

Rakyat mendoakan ada pimpinan UMNO terus menyerang dan menghina Mat Said supaya beliau boleh mendedahkan rahsia besar Najib Razak.

Di pelusuk negara rakyat bercakap perihal Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.


Namun, Isnin lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengambilalih perhatian seluruh rakyat apabila mengusulkan undi tidak percaya terhadap penggantinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad membacakan usul itu ketika membahas titah ucapan Sultan Terengganu pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Isnin lalu.

Usul Mat Said itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN, Datuk Muhd Zubir Embong kerana tidak mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan di mana Mat Said sepatutnya memfailkan notis kepada Pejabat DUN terlebih dahulu.



Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pula menganggap tindakan Mat Said itu seperti ‘menipu’ kerana cuba menyerang hendap Ahmad Razif.

Bukan sahaja rakyat, malah pimpinan UMNO negeri juga terpinga-pinga kenapa secara tiba-tiba Mat Said mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Mat Said yang meletak jawatan pada Mei 2014 mendakwa ada usaha pihak tertentu yang memburukkan nama dan cuba menjatuhkan reputasinya menyebabkan beliau mengusulkan perkara itu.

Selepas mendapat kecaman dan kritikan, Mat Said memberitahu FMT beliau menyimpan rahsia besar Datuk Seri Najib Razak yang jika dibongkar, ia boleh memalukan Perdana Menteri dan rakyat.

Apakah rahsia yang disimpan oleh Mat Said? Adakah ia berkaitan Terengganu Invesment Authority (TIA) sebelum ditukar menjadi 1MDB?



Sebelum ini, Mat Said mendedahkan dakwaan 1MDB cuba mencagar minyak dan gas yang berada di laut Terengganu tetapi beliau menolak cadangan itu menyebabkan Najib memarahinya.

Mat Said memang terkenal dengan sikap berterus terang dan keberaniannya atau bahasa tempatan ‘nelang’. Beliau pernah beberapa kali mencabar pembangkang di negeri itu bertumbuk di luar DUN kerana berbeza pendapat.

Sepanjang menjadi Menteri Besar sejak PRU 2008, Mat Said mencetuskan beberapa kontroversi. Bermula pelantikannya menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh. Mat Said dikatakan satu-satunya ADUN yang sanggup menerima jawatan itu selepas pelantikan semula Idris Jusoh tidak diperkenan pihak istana.

Mat Said juga mencetuskan ‘perang’ dengan PROTON apabila bertindak menukar kenderaan rasmi daripada Perdana V6 kepada Mercedez Benz E-200 kerana mendakwa kos baik pulih kereta PROTON terlalu tinggi termasuk sering mengalami masalah gear.



Selain itu, kediamannya yang menyerupai istana juga dipersoalkan kerana saiznya yang luar biasa dan sering menjadi perhatian rakyat. Mat Said juga pernah menyaman dua blog kerana menyebarkan cerita tidak benar tentang dirinya.

Mat Said juga enggan menjalankan projek-projek pembangunan khususnya pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat di kawasan yang dimenangi pembangkang pada PRU13.

Di akhir hayatnya sebagai Menteri Besar, beliau ‘melawan’ keputusan pucuk pimpinan parti supaya beliau meletak meletak jawatan dan sifat-sifat itulah Mat Said digelar ‘nelang’.

Akhirnya 12 Mei 2014, Mat Said meletak meletak jawatan dan umumkan keluar UMNO tetapi masuk semula UMNO keesokan harinya.



Itulah bekas Menteri Besar Terengganu yang paling kontroversi dalam sejarah UMNO. Kelibatnya yang sering kelihatan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan dirinya menjadi sasaran pihak tertentu.

Kini, seluruh rakyat Malaysia menunggu bilakah Mat Said mahu mendedahkan rahsia besar Najib dan apakah rahsia besar itu?

Kita mengharapkan ada pimpinan UMNO terus menyerang dan menghina Mat Said supaya beliau boleh membongkar rahsia besar Najib.

Atau Mat Said sengaja mencari publisiti di saat-saat karier politiknya sudah berada di penghujung hayat?



-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top