Tan Sri Muhyiddin tiada kemampuan seperti Datuk Seri Anwar dan Tun Musa untuk melawan ketuanya.
Negara ‘bergegar’ dengan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan kemudian penggantungan sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Sana sini orang bercakap mengenainya dan ada pihak merasakan UMNO akan lemah dan menerima akibat akan polemik Tan Sri Muhyiddin pada pilihan raya akan datang.
Tan Sri Muhyiddin pula menerusi kenyataan demi kenyataan, cuba menekan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan dibantu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada masa yang sama, anak Tun Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah ke-11, bekas menteri Kabinet zaman Mahathir dan juak-juaknya turut berpadu tenaga ‘mengenakan’ Datuk Seri Najib.
Tidak cukup dengan itu, semalam Tun Dr Mahathir bertalak sekali lagi dengan UMNO, atas alasan mahu menekan Datuk Seri Najib berhenti jadi Perdana Menteri.
Jika dilihat pada permainan penentang Datuk Seri Najib, memang nampak anak Tun Razak ini akan tamat karier politiknya tak lama lagi, kononnya kemarahan rakyat membahang dan UMNO akan terjelepuk jatuh.
Berdasarkan perkembangan politik tanah air ini, kita mencuba membandingkan pertembungan politik antara Perdana Menteri dengan orang nombor duanya, berdasarkan situasi dan kehangatannya mengikut sejarah.
Ikut rekod, pertembungan itu pernah membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Tun Razak, Tun Mahathir dengan Tun Musa, Tun Mahathir dengan Tun Ghafar Baba dan Tun Mahathir sekali lagi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seingat kita, dalam banyak-banyak pertembungan Perdana Menteri dengan timbalannya, Datuk Seri Anwar yang paling ‘ganas’, diikuti Tun Musa.
Ingat lagi kes pemecatan Datuk Seri Anwar, memang menggugat kestabilan UMNO sehinggakan ketika pilihan raya, ramai orang Melayu memprotes dan meninggalkan UMNO, sehingga terpaksa mengharapkan pengundi Cina dan India serta Sabah dan Sarawak untuk kekal berkuasa. Kesannya, Barisan Nasional hilang Terengganu.
Tidak cukup dengan itu, pada 2008 dan 2013, sekali lagi UMNO Barisan Nasional ‘panas’ sebab hilang majoriti 2/3 sebab taktik politik Datuk Seri Anwar. Pembangkang memang bersatu melawan UMNO Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Anwar. Kesannya sampai sekarang.
Pertembungan Tun Mahathir dengan Tun Musa pula meninggalkan impak ketika Pilihan Raya Umum tahun 1990, yang mana menyebabkan PAS meraih sokongan mantap sehingga hari ini dan membentuk kerajaan di Kelantan selain membawa tokoh ulama tersohor iaitu Datuk Nik Aziz Nik Mat ke politik arus perdana.
Bagaimana Tan Sri Muhyiddin? Jujur cakap, kita tidak rasa Tan Sri Muhyiddin ada kemampuan Datuk Seri Anwar dan Tun Musa. Kita merasakan impak ‘hu ha’ beliau tidak ke mana.
Malah, pengguguran dan penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebenarnya mengukuhkan lagi Datuk Seri Najib meskipun terpalit kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
UMNO tidak berpecah. Yang bising hanya satu bahagian sahaja iaitu UMNO Pagoh, manakala cawangan yang ‘pot pet’ hanya 13 sahaja berbanding 21,987 cawangan yang menyokong Datuk Seri Najib.
Tinjauan mendapati sokongan Melayu kekal kukuh di belakang UMNO Barisan Nasional walaupun ramai yang tahu atau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Datuk Seri Najib mengenai 1MDB.
Hanya kaum bukan Melayu atau bukan Bumiputera sahaja yang kita hampir pasti tidak akan pangkah parti pimpinan Datuk Seri Najib, itu pun jumlahnya tidak sampai 30% daripada seluruh populasi Malaysia.
Tambahan pula, pembangkang berpecah teruk dan tindak tanduk DAP yang sering menyinggung orang Melayu membuatkan Datuk Seri Najib di pihak yang menang ketika ini. Lagi pun Datuk Seri Najib ialah ketua kerajaan dan ada segala jentera kerajaan di bawahnya sebagai sumber. Kita rasa Datuk Seri Najib cerdik berpolitik dan menguruskan penentangan Muhyiddin ini dengan menggunakan sumber di bawahnya.
Mungkin ada tidak setuju dengan tulisan ini, tetapi itulah pengamatan kita tatkala bertemu pemimpin UMNO Barisan Nasional, PKR, PAS, DAP dan akar umbi serta pengundi atas pagar.
Yang pasti Muhyiddin bukan Anwar dan tak mungkin dapat lawan Najib dalam keadaan sekarang. Malah, kita sangatlah yakin bahawa Mahathir juga akan tewas dalam pertembungannya dengan Najib.
p/s: Semalam Tun Dr Mahathir keluar UMNO sahaja, harga minyak turun 15 sen.
-FMT NEWS-
Post a Comment